Search NoorJannah




Ruangan Khas Untuk Wanita Masa Kini

↑ Grab this Headline Animator



Kecantikan milik semua

Tuesday, May 29, 2007

Sumber : Citra - Berita Harian

WANITA tidak dapat lari daripada membicarakan mengenai kecantikan. Sedikit masa dulu tidak begitu banyak produk kecantikan dihasilkan, namun hari ini selak saja akhbar, majalah serta televisyen, produk berkaitan kecantikan terlalu banyak menjadikan pengguna juga bagaikan rambang mata, memilih yang mana berkenan di hati.

Sama ada suka atau tidak pengiklanan berperanan besar merubah persepsi orang ramai terhadap dunia kecantikan. Wanita bagaikan dimomokkan bahawa mereka perlu kelihatan cantik sentiasa.

Adakah lambakan iklan yang menampilkan produk kecantikan itu menunjukkan wanita hari ini semakin prihatin terhadap kecantikan ataupun sebenarnya, mereka takut dimamah usia?

Hakikatnya hari ini dunia kecantikan adalah hak semua tanpa mengira jantina. Tidak menjadi satu kesalahan jika meletakkan kepuasan untuk diri sendiri sementara menyenangkan mata orang lain yang melihatnya, adalah perkara terpuji.

Pengasas Fazley International Cosmetic (Ficos), yang menghasilkan produk kecantikan untuk lelaki dan wanita, Dr Ahmad Fadzley Yaakob, berkata kecantikan hari ini bukan lagi dilihat sebagai sesuatu yang subjektif, sebaliknya mempunyai objektif tertentu seperti inginkan maruahnya dihormati dan sentiasa dipandang elok.

“Pada saya wanita hari ini berhadapan dengan evolusi kecantikan yang mana kalau dulu mungkin ia dilihat subjektif, tetapi hari ini mempunyai objektif tersendiri seperti ingin bergaya, melaram dan menjaga keterampilan.

“Mereka juga tahu apa yang mereka ingini seperti memberikan tumpuan kepada wajah, rambut atau pakaian yang dipakainya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berpendapat, evolusi itu adalah perkara yang amat perlu kerana ia juga sebenarnya sama seperti perubahan dalam bidang teknologi maklumat yang sentiasa berkembang.

“Dulu mungkin hanya fokus kepada alat solek, tetapi hari ini setiap inci tubuh badan termasuklah kuku kaki dan tangan. Tidak pernah timbul istilah ‘takut tua’ kerana setiap wanita itu sememangnya sudah dilihat cantik, justeru tidak salah seandainya mereka menjaga kecantikan dengan erti kata lain untuk kepuasan diri sendiri dan mata yang memandang.

“Kalau anda melihat wanita hari ini ada yang sampai melakukan senaman pun sanggup memakai alat solek, sekurang-kurangnya gincu. Kenapa? Ini kerana mereka akan berasa lebih yakin dengan penampilan sedemikian,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Fazley tidak menafikan ada segelintir wanita yang sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan rawatan dan suntikan tertentu untuk kelihatan lebih muda meskipun alasan yang selalu diberikan ialah untuk kelihatan cantik.

Begitu pun, katanya, secara keseluruhan beliau melihat penggunaan produk kecantikan bukan semata-mata untuk menutup usia sebenar, sebaliknya wanita hari ini semakin bijak menjaga penampilan.

“Tidak timbul soal takut tua kerana lelaki pun hari ini gemar bersolek, dan menjaga penampilan. Hari ini kalau kita pakai kasut kusam pun orang akan tegur, demikianlah pentingnya penampilan itu. Soal tua bukan perkara utama dalam bersolek kerana bersolek seharusnya dipadankan dengan usia,” katanya.

Beliau yang menjalankan penyelidikan hingga ke Timur Tengah dan Barat, mendapati 80 peratus masyarakat memandang penjagaan wajah perkara paling diutamakan dalam menjaga penampilan diri.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Eksekutif Leesa Formula, Mona Din, menyifatkan produk kecantikan yang ada di negara ini masih terlalu sedikit sekiranya dibandingkan dengan negara lain dan kekeliruan mengenai pemilihan produk tidak akan timbul sekiranya pengguna mempunyai maklumat terhadap produk ditawarkan.

Beliau yang baru pulang daripada mengikuti Pameran Antarabangsa Produk Kecantikan di Itali berkata, sekiranya dibandingkan dengan negara lain, Malaysia yang masih dalam status negara membangun terlalu jauh ketinggalan di belakang kerana penduduk negara ini sebenarnya baru saja berjinak-jinak dalam soal penjagaan tubuh badan dan kecantikan diri.

“Kita tidak perlu melihat jauh, jiran kita di Thailand saja ada 3,000 jenama produk spa sedangkan di negara ini belum pun sampai 30 jenama. Itu baru dalam dunia spa, belum lagi bidang kecantikan yang lain. Pengguna seharusnya memilih mana produk yang sesuai dengan diri sendiri.

“Pada pandangan saya sekiranya banyak produk, bererti pengguna mempunyai pilihan yang lebih luas kerana ada produk yang berasaskan bahan kima dan ada yang daripada tumbuh-tumbuhan. Pengguna yang bermaklumat tidak mungkin akan silap,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ditanya adakah perkataan tua, terlalu ditakuti pengguna menyebabkan wanita teruja menjaga tubuh badan dan kecantikan, Mona mengakui perasaan itu bukan satu kesalahan kerana mana-mana manusia yang normal tidak kira lelaki dan wanita ingin dirinya kelihatan kekal muda.

“Saya fikir individu yang normal akan mahu kelihatan cantik dan kekal kelihatan kekal muda. Perasaan ini patut ada dalam setiap diri individu dan ini sebenarnya adalah perasaan yang positif kerana dengan adanya perasaan itu maka bermulanya usaha mendapat terbaik ke arah itu,” katanya.

Ingin tampil cantik atau ingin kelihatan selekeh pilihan itu ada di tangan anda kata pepatah tepuk dada tanya selera. Sama ada produk mahal atau murah, ia tersedia dimiliki, tinggal lagi sebijak mana anda mewarnai wajah itu.

Facebook